TAWAU, 3 Mei : Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cedera ringan selepas ambulan dinaiki tiba-tiba terbabas ketika dalam perjalanan pulang ke pejabat di Batu 2 Jalan Apas, semalam (Isnin).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Polis, Jasmin Hussin, dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.35 malam mengenai satu kemalangan melibatkan ambulan milik APM yang terbabas sendiri.
“Ambulan itu dipandu seorang anggota sukarelawan APM bersama tiga penumpang dalam perjalanan balik ke pejabat mereka di Batu 2 Jalan Apas selepas selesai menjalankan tugas melibatkan kes kebakaran rumah di Jalan Sin On,” katanya.
Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, pemandu ambulan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan merempuh tiang elektrik.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala tiga penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya lagi.
Jasmin berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan di bawah Rule 10 LN166/59. – TVS