SANDAKAN, Sabah, 2 Mei: Tiga buah lori minyak terbakar sepenuhnya manakala sebuah lori lagi terbakar sebahagiannya dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Jawa 1, Sungai Manila di sini pada Ahad malam.
Pegawai Bertugas Pusat Gerakan Operasi Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.11 Ahad malam.
Sejurus itu, 12 anggota diketuai Pegawai Operasi, Jimmy Lagung, bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.
Laporan kebakaran melibatkan tiga buah lori minyak yang terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi lori minyak terbakar 20 peratus.
Kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan tujuh gallen foam dengan aliran tiga pancutan sumber air 200 kaki dari tangki jentera.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.37 pagi Isnin, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. – TVS