MUKAH, 2 Mei : Seorang remaja lelaki maut sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan Jalan Kubu Mukah,dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Muhamad Rizal Alias berkata, ketika kejadian pada pukul 4.30 petang, mangsa, Mohamad Norhajimin Ibrahim, 19, yang menunggang motosikal telah melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Mangsa yang cedera di bahagian leher dan belakang badan kemudian dikejarkan ke Hospital Mukah namun disahkan meninggal dunia pada pukul 7.43 malam tadi,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan mendapati kereta berkenaan sedang bergerak dari arah lampu isyarat Jalan Haji Mohd Fauzi menuju ke arah Pantai Kala Dana.
“ Mangsa yang dari arah Pasar Lama Mukah secara tiba-tiba melanggar kereta berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan pemandu kereta kini ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disyakiu melakukan kesalahhan mengikut Seksyen 41(1) akta sama. -TVS