Foto Faitullah Morni
KUCHING, 2 Mei : Di sebalik situasi tidak dijangka apabila umat Islam di Malaysia meraikan satu Syawal pada hari ini, suasana sambutan di seluruh negara tetap meriah.
Di Sarawak, lebih 2,000 umat Islam menyertai Yang di – Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, di sini.
Turut mengiringi Tun Taib ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Speaker Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak ,Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Turut kelihatan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Imam Besar Negeri, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi kemudian turut menyampaikan khutbah khas Aidilfitri bertajuk Kembali Kepada Fitrah.
Tun Taib dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib hari ini turut mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bermula pukul 11.15 pagi tadi bertempat di Borneo Convention Centre (BCCK) yang dihadiri rakyat pelbagai bangsa.
Abang Johari dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang pula dijadualkan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri esok , bermula pukul 10 pagi di Hotel Pullman. -TVS