KUALA LUMPUR, 2 Mei : Atlet yang terlibat dengan ‘gelembung’ kem latihan ke Sukan SEA boleh mengukir senyuman apabila diberi kelonggaran untuk bersemuka dengan ahli keluarga bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Kemeriahan sambutan 1 Syawal itu dapat dirasai apabila beberapa ahli keluarga atlet mengambil peluang untuk hadir dan berjumpa dengan anak masing-masing sambil mematuhi penjarakan fizikal, setelah mereka mengasingkan diri sejak menyertai perhimpunan akhir bermula 24 April lepas, sebagai persediaan sebelum mereka berlepas ke Hanoi, Vietnam.
Baca > > > ‘Patatimo Boys’ harap pengorbanan Raya tuai emas Sukan SEA
Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya percaya kelonggaran yang diberikan itu dapat menyemarakkan lagi semangat atlet untuk berjuang bagi mengangkat nama negara pada temasya dwitahunan itu, yang dijadual berlangsung secara rasmi dari 12 hingga 23 Mei.
“Hari ini kita memberi peluang kepada mereka (atlet) dan ahli keluarga melawat di kem dan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Tahniah kepada keluarga besar pengurusan MSN, di bawah kepimpinan Dato’ Ahmad Shapawi Ismail yang mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan ini buat kali pertama.
“Sambutan amat baik daripada atlet dan anggota keluarga yang hadir,” katanya pada sidang media selepas jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama kontinjen Malaysia ke Sukan SEA di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya Dato’ Sri Ti Lian Ker dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Dato’ Nur Azmi Ahmad.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata semangat juang barisan atlet negara berkobar-kobar untuk mempamerkan aksi terbaik pada temasya sukan itu.
“Saya harap seluruh rakyat Malaysia beri sokongan padu kepada atlet dan doakan mereka bebas daripada kecederaan. Sekiranya mereka dapat menampilkan aksi terbaik, saya percaya tidak mustahil untuk mereka membawa pulang lebih 36 pingat emas yang disasarkan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Halim Abdul Aziz, 55, yang melawat menantunya Mohd Taqiwuddin Hamid, berharap pesilat yang bakal beraksi dalam acara silat ganda di Sukan SEA buat kali kelima itu dapat menampilkan aksi terbaik di Hanoi.
“Ini satu pengorbanan sama ada daripada keluarga atau anak sendiri (atlet) dengan keadaan sekarang ini. Harapan saya atlet-atlet Malaysia akan pulang dengan emas, insya-Allah,” katanya.
Malaysia, yang bakal diwakili kira-kira 580 atlet dalam 338 acara melibatkan 37 jenis sukan pada Sukan SEA kali ini, menyasarkan untuk meraih 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa. – TVS