Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kagum dengan semangat kental ditunjukkan jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang baru menjalani pembedahan akibat masalah jantung.

Ahmad Faizal kagum dengan semangat kental Azizulhasni

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Mei : Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu kagum dengan semangat kental yang ditunjukkan oleh jaguh berbasikal trek kebangsaan, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang, yang baharu menjalani pembedahan akibat masalah jantung.

Beliau berkata Mohd Azizulhasni, yang menjalani pembedahan jantung agak serius pada 21 April lepas, cekal menghadapi dugaan setelah didapati mempunyai kondisi arteri koronari kanan yang menyalur daripada aorta di posisi yang janggal (anomalous aortic origin of right coronary artery) atau AAORCA.

Ahmad Faizal berkata pelumba berusia 34 tahun itu juga menunjukkan pemulihan yang cukup baik untuk kembali meneruskan latihan dalam masa beberapa bulan lagi.

“Saya dapat berhubung dengan beliau setiap hari sebelum pembedahan. Beliau begitu fokus untuk menjalani pembedahan dan pemulihannya selepas pembedahan juga baik, saya memang amat kagum dengan beliau.

Baca > > > Mohd Azizulhasni semakin pulih selepas jalani pembedahan jantung

“Kita mendoakan agar beliau segera sembuh dan dapat menjalani latihan dengan cepat, beliau menjadi taruhan utama kita untuk Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya pada sidang media selepas majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Semalam (Ahad), peminat sukan tanah air dikejutkan oleh Mohd Azizulhasni yang mengumumkan beliau telah menjalani pembedahan jantung terbuka bagi AAORCA di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, Australia.

Penyakit berbahaya itu membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera. 

Ahmad Faizal berkata kementeriannya, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bersama-sama dengan Institut Jantung Negara (IJN), memantau keadaan pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu pada setiap masa.

“Kita bekerjasama dengan (Pakar Perunding Bedah Kanan Kardiotorasik merangkap Pengarah Sukan IJN) Dato’ Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon dan beliau sentiasa berhubung dengan doktor-doktor pakar dari Australia. Kita juga menghantar Dr Jeswant untuk memantau sendiri pembedahan yang dilakukan.

“Ia bukan sengaja kita rahsiakan, tetapi sebagai menghormati Dato’ Azizul, yang meminta agar beliau diberi ruang untuk fokus menjalani pembedahan yang agak serius itu,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan