Foto: Nicklaren Rommie
MIRI, 1 Mei : Seramai 60 orang peserta mengadakan misi penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah dengan memakai pakaian tradisional etnik Iban yang dikenali sebagai Sirat.
Rombongan tersebut menaiki pesawat Air Asia dengan nombor pesawat AK 6076 dari Miri ke Kota Kinabalu petang semalam.
Rombongan tersebut diketuai oleh Peter John Jaban yang sedang dalam misi mempromosikan adat, kesenian dan kebudayaan orang asal Sarawak.
Penerbangan tersebut adalah yang julung kalinya menerima penumpang yang memakai Sirat, memperlilhatkan seni tatu pada badan dan berkaki ayam.
“Kami merancang untuk mengembara lagi ke Semenanjung Malaysia dan pada tahun hadapan, kami merancang ke New Zealand” katanya dalam temu bual bersama TVS.
“Saya berharap untuk menerima lebih ramai lagi peserta yang terlibat menaiki pesawat memakai Sirat pada masa akan datang. Mungkin 300 hingga 1,000 orang,” katanya lagi.
Meskipun pelbagai cabaran yang perlu dilalui bagi merealisasikan misi itu, Peter bertekad untuk mempromosikan budaya orang asal Sarawak di luar Sarawak agar orang ramai dapat mempelajari dan menghayati seni kebudayaan etnik Sarawak.
“Apabila tiba di Kota Kinabalu, kami akan mempersembahkan persembahan tarian tradisional ‘flash mob’ di Sabah Waterfront dengan pemuzik sape terkemuka”.
“Kami juga akan mengadakan pertunjukan memasak makanan tradisional Sarawak serta seni tatu tradisional semasa berada di Kota Kinabalu agar orang Sabah dapat mengenal budaya kita,” katanya.
Para peserta adalah etnik Iban dari seluruh Sarawak dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Dayak di Sarawak.
Selain Kota Kinabalu rombongan tersebut akan turut melawat beberapa daerah lain seperti Tenom, Keningau dan Tambunan dan dijadual pulang ke Miri pada 4 Mei nanti. – TVS