IPOH, 1 Mei : Polis Perak menahan 92 remaja atas kesalahan lumba haram dalam Op Selamat, yang memberi tumpuan kepada samseng jalanan di beberapa lokasi panas ‘mat rempit’ awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hasan berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 89 lelaki dan tiga perempuan berumur antara 15 hingga 26 tahun dalam operasi yang bermula pada jam 1.00 pagi di kawasan sekitar Station 18 di Pasir Puteh di sini.
“Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya. Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.
“Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan, antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya pada sidang media Op Selamat hari ini.
Jelasnya, selain itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya manakala dua orang positif dadah selepas ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Yahaya lagi, sebanyak 241 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat melibatkan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – TVS