KUCHING, 1 Mei : Setelah lebih dua tahun hidup dengan “norma baharu” dalam mendepani pandemik COVID-19, masyarakat di Sarawak masih selesa dengan langkah kawalan di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) meskipun beberapa kelonggaran diumumkan baru-baru ini.
Tinjauan Bernama di sini mendapati rata-rata penduduk terus mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengekalkan pemakaian pelitup muka walaupun berada di luar bangunan.
Fong Yi Ting, 32, berkata walaupun pelitup muka tidak lagi diwajibkan di luar premis, beliau tetap memilih untuk memakai pelitup muka kecuali ketika melakukan aktiviti seperti bersenam.
“Sudah terbiasa pakai sejak lebih dua tahun ini. Lagipun kes masih ada, jadi untuk keselamatan diri tak rugi kalau terus pakai,” katanya.
Selain pemakaian pelitup muka yang hanya diwajibkan di dalam bangunan, mulai hari ini penjarakan fizikal dan daftar masuk ke premis juga tidak lagi diperlukan.
Lilian Chia, 49, yang ditemui di sebuah kedai makan di sini, berkata beliau lega apabila imbasan MySejahtera tidak lagi diperlukan kerana baginya perkara itu agak leceh dan melambatkan pergerakan masuk ke dalam sesuatu premis. – TVS