MUKAH, 30 April : Aspek keselamatan jalan raya di daerah Tanjong Manis terus diberi keutamaan dalam usaha memastikan orang ramai sentiasa berhemah dan berwaspada ketika mengendalikan kenderaan, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Sehubungan itu, Pejabat Daerah Tanjong Manis menganjurkan program keselamatan sebagai inisiatif bagi memberi kesedaran tentang keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah, berkata sebelum ini program diadakan di daerah Mukah namun untuk Aidilfitri tahun ini, ia dilaksanakan di daerah Tanjong Manis dengan harapan untuk memupuk kesedaran orang ramai terhadap penggunaan topi keledar.
“Pada kali ini, kita menganjurkannya bagi pihak Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Mukah,” katanya.
Sehubungan itu, Ismail berharap program itu dapat meningkatkan pemahaman dan dijadikan peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa berhemah dan menitikberatkan aspek keselamatan.
“Tanpa mengira ada penguatkuasa atau sebaliknya, perjalanan dekat atau jauh, pemakaian topi keledar amat penting demi keselamatan diri sendiri.
“Selain topi keledar, aspek lain juga perlu dititikberatkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Program turut diserikan dengan agihan sebanyak 100 bungkus bubur lambuk kepada penduduk setempat.
Hadir sama, ketua jabatan dan pemimpin masyarakat tempatan. – TVS