SIBU, 30 April : Polis sedang memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam jenayah memecah masuk sebuah rumah dan melarikan peti besi seberat 200 kilogram yang mengandungi pelbagai mata wang, barangan kemas dan jam tangan mewah bernilai lebih RM700,000 di sebuah rumah di Jalan Tuah di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan, pihaknya percaya jenayah pecah rumah itu dilakukan oleh lebih daripada seorang penjenayah.
Menurutnya, kejadian itu disedari pengadu berusia 74 tahun yang telah pergi ke rumah anaknya dan mendapati pintu belakang rumah tersebut terbuka dan telah diumpil
Pemeriksaan lanjut oleh pengadu mendapati sebuah peti besi milik anaknya dalam bilik tidur utama telah hilang.
Peti besi milik anak pengadu dipercayai mengandungi pelbagai mata wang asing, barangan kemas dan seutas jam tangan Rolex.
Menurut Zulkipli, anak lelaki pengadu dan keluarganya telah pergi ke England untuk menghadiri majlis graduasi anak mereka pada 23 April lalu.
Pengadu pergi ke rumah anaknya untuk memadamkan lampu rumah, dan memberitahu anaknya serta keluarga hanya akan kembali ke Sibu pada awal Mei depan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah dan curi. – TVS