TATAU, 30 April : Pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau telah memulakan rondaan 24 jam di sekitar pekan ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjayakan misi Op Selamat Ke-18 yang dilancarkan di seluruh negara pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis berkata, pihaknya juga akan memberi fokus kepada lokasi-lokasi tompok hitam dan panas kemalangan di sepanjang Jalan Tatau-Bintulu dalam pengisian tugas pasukan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.
“Selain itu, pihak kami juga akan mempertingkatkan rondaan di kawasan rumah kediaman dan telah menggerakan pasukan rondaan 24 jam di sekitar Tatau, terutamanya di premis-premis kedai dan perumahan,’ katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Katanya pelancaran Op Selamat pada tahun ini nyata memberikan satu kelainan dan ‘nafas baharu’ ekoran kekangan situasi COVID-19 yang menyukarkan sebarang pergerakan dan aktiviti.
Pada Khamis, Jame telah menyampaikan beberapa ‘buah tangan’ kepada pengguna jalan raya semasa pelancaran Op Selamat Ke-18 di Km 1 Jalan Tatau-Bintulu.
“Persiapan rapi dari segi atur cara yang disusun baik oleh IPD Tatau nyata memberi satu kelainan pada pelancaran kali ini, yang juga melibatkan agensi kerajaan lain serta orang awam,” ujar Jame.
Jelasnya, operasi kali ini adalah secara “Total Enforcement and Service” di mana pendekatannya bertepatan dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Jame juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa balik ke kampung halaman masing-masing serta memaklumkan ketiadaan mereka di rumah yang ditinggalkan semasa bercuti.
Op Selamat dijalankan dari 29 April hingga 8 Mei, iaitu selama 10 hari.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat Islam yang akan menyambut perayaan itu beberapa hari lagi. – TVS