KUCHING, 30 April: Pihak polis telah berjaya menangkap dua suspek lelaki tempatan yang terlibat dengan kejadian gaduh gempar di tempat awam yang telah tular di media sosial, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, kejadian dalam video berdurasi 1 minit 28 saat itu berlaku di Jalan Hospital di sini pada Khamis dan dipercayai berpunca daripada pergeseran kenderaan yang dipandu oleh kedua-dua suspek.
“Namun pergaduhan tersebut berjaya dileraikan dengan baik oleh orang awam dan juga pengawal keselamatan hospital,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar di tempat awam dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, suspek boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.
Manakala jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – TVS