KUCHING, 30 April : Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin memberi bayangan bahawa beliau mungkin akan ‘turun’ untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.
Secara berlapik, Willie, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi I, berkata ketika ini biar masa yang menentukan perkara tersebut.
“Sebagai seorang penyandang, memang menjadi lumrah untuk kita mempertahankan kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Hari Wanita Puncak Borneo, di sini hari ini.
Sebelum ini Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menegaskan parti itu akan meletakkan calonnya di Puncak Borneo pada PRU-15 kerana kawasan Parlimen itu merupakan kerusi tradisi mereka sebelum PRU pada 2018.
Pada Mei 2018, Willie, yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), berjaya menawan Puncak Borneo.
Bagaimanapun pada 2020, beliau meninggalkan PKR dan dilihat sebagai Ahli Parlimen ’mesra’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lepas, Willie ‘memberi laluan’ kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong yang berada di dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo.
Kenyataan terbaharu Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada minggu lepas yang meminta ahli-ahli PBB bekerja keras di situ memberi bayangan bahawa pertandingan di antara PBB dan parti lain di Puncak Borneo “sukar” dielakkan.
Mengulas mengenai dakwaan tidak akan bertanding di situ pada PRU akan datang, Willie berkata, perkara itu tidak tepat
“Kita hadapi sahaja apa situasinya,” ujarnya. – TVS