MIRI, 29 April : Sebanyak 100 kotak sumbangan ziarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan di bawah Program Ziarah UKAS Semarak Ramadan N.73 Piasau di Masjid At-Taqwa di sini, pada Khamis.
Turut diadakan di bawah program tersebut adalah majlis berbuka puasa bersama semua jemaah yang hadir.
Ahli Majlis Bandaraya Miri (MBM), Leslie Lau Ik Chie, turut turun padang untuk memeriahkan Program Ziarah UKAS Semarak Ramadan bagi mewakilI Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
“Saya dimaklumkan bahawa pihak Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) giat mengadakan program turun padang menerusi Program Ziarah UKAS bagi menyantuni pelbagai lapisan komuniti di seluruh Sarawak.
“Antara program-program yang dilaksanakan termasuklah ‘Semarak Ramadan’ yang bertujuan untuk menyampaikan 100 kotak sumbangan Ziarah UKAS kepada golongan yang disasarkan, di samping turut sama-sama menyertai majlis berbuka puasa,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Temenggong Dato’ Abdul Rahman Fadzail, Penyelia Ukas Bahagian Miri, Dayang Norazelina Hamdan, Wakil Pegawai Agama Bahagian Miri, Ustaz Abdullah Masaid, Pengurus Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM), Ramlah Ahat, Pemanca Mohamed Abang Othman, Penghulu Samad Alip @ Laip, serta Penghulu Samion Gani. – TVS