KUALA LUMPUR, 29 April : Jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli diharap dapat menampilkan prestasi terbaik walaupun kurang pendedahan di pentas antarabangsa menjelang Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam, pada bulan depan.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata temasya dwitahunan itu pastinya menjadi medan menguji atlet terbabit sebelum beraksi pada Sukan Para ASEAN (APG) di Solo (Surakarta), Indonesia. atau Sukan Komanwel Birmingham, kedua-duanya dijadualkan pada Julai ini.
Beliau berkata pihaknya meletakkan harapan yang tinggi kepada Muhammad Ziyad untuk mencari momentum bagi menghasilkan ‘sesuatu’ di temasya itu.
“Semua atlet sudah lama tidak menyertai apa-apa pertandingan, saya rasa semua orang berada pada tahap yang sama sekarang.
“Sekurang-kurangnya kita sudah tahu tidak banyak atlet Paralimpik akan bertanding di Vietnam. Jadi ia bakal menjadi kayu pengukur buat dia kali ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama MPM di sini, semalam (Khamis).
Menurut Megat D. Shahriman, Muhammad Ziyad, yang mempunyai lontaran terbaik 17.12 meter (m) pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, sedang berusaha mengembalikan otot fizikalnya sebagai bekalan ke Hanoi.
Semasa Kejohanan Trek dan Padang Singapura ke-82 2022 pada 16 April lepas, Muhammad Ziyad membawa pulang pingat gangsa dalam acara lontar peluru dengan mencatatkan jarak terbaik musim ini iaitu 16.54 m, lebih baik berbanding catatan 16.27 m di Terbuka Malaysia pada awal bulan lepas. – TVS