Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: Bernama

Masjid tertua Sarawak dibuka semula selepas kerja pemulihan selama lima tahun

SIBU, 29 April : Laungan azan subuh yang kedengaran dari Masjid Al-Qadim di sini menjadi detik bersejarah buat umat Islam di bandar Sibu kerana ia menandakan pembukaan semula masjid berusia lebih sekurun itu selepas lima tahun ditutup untuk kerja-kerja pemulihan.

Ini sesuatu yang dinanti-nantikan selepas masjid tertua di Sarawak itu ditutup sejak 2017, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee, dalam hantaran di laman Facebooknya berkata atas sebab-sebab keselamatan, pihak Jawatankuasa Pengurusan Masjid mengehadkan jumlah jemaah kepada hanya 150 orang pada satu-satu masa meskipun ia dapat menampung 500 jemaah.

“Selamat kembali bersolat di Masjid Al-Qadim, masjid tertua di Sarawak,” katanya dalam hantaran tersebut.

Selain digunakan untuk menunaikan solat wajib lima waktu, masjid berusia 161 tahun itu, yang berjaya dibaik pulih mengikut reka bentuk asal, dijangka akan menarik kedatangan pelancong ke Sibu.

Masjid tersebut, yang menjadi pusat ibadah penduduk Kampung Nyabor suatu ketika dahulu, dibina secara gotong-royong oleh seorang ulama dikenali sebagai Abdul Salam Minangkabau, yang berasal dari Sumatra, Indonesia, bersama dengan penduduk kampung ketika pengembangan agama Islam di Sibu sekitar tahun 1861.

Masjid Al-Qadim dikatakan seakan-akan menyerupai reka bentuk Masjid Agung Demak, yang juga masjid tertua di Indonesia dan dipercayai didirikan sekitar tahun1466, dengan persamaan ketara yang terletak pada ‘Tiang Empat’, yang juga tiang utama masjid, dan reka bentuk bumbungnya.

Kerja-kerja membaik pulih dan pemuliharaan masjid, yang dibina menggunakan kayu belian, terbahagi kepada dua fasa, yang mana fasa pertama melibatkan bumbung dan struktur luaran manakala fasa kedua merangkumi bahagian dalaman yang menelan kos RM2.2 juta.

Pemilihan kontraktor dilakukan dengan teliti atas nasihat Jabatan Muzium Sarawak, Jabatan Kerja Raya dan konsultan utama projek, Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Pihak kontraktor telah diminta menjalani kursus khas di Terengganu untuk memastikan kerja-kerja mereka mematuhi aspek yang ditetapkan.

Dr Annuar, yang terlibat secara langsung dalam usaha itu, berkata semua strukturnya diperbuat daripada kayu belian, dan mana-mana struktur yang dirobohkan sebelum ini telah dibina semula, termasuk menara tempat melaungkan azan.

Pintu-pintu utama diperbuat daripada kayu jati yang ditempah khas dari Indonesia serta diukir menyerupai pintu Masjid Nabawi di Madinah untuk menyerlahkan lagi keunikan masjid tersebut.

Dr Annuar berkata bahagian siling juga telah ditinggikan seperti mana reka bentuk asal yang memberi ruang lebih kepada pengudaraan dan dipasang serta dilapisi dengan tikar-tikar buluh.

Bahagian dalaman juga dihiasi tulisan seni khat dan ayat-ayat suci Al-Quran yang diukir di atas kayu manakala lantai, yang sebelum ini dipasang jubin, telah diganti semula dengan papan belian seperti mana keadaan asalnya.

Proses membaik pulih berpandukan kepada rekod sejarah, termasuk gambar lama dan maklumat yang diperoleh daripada penduduk asal kampung di sekitar masjid tersebut.

Selain itu, sebuah beduk ditempah khas dari Jabaran, Indonesia, dan ditempatkan di satu sudut ruang belakang masjid yang akan dipalu setiap kali masuknya waktu solat wajib.

Bagi memastikan keselesaan para jemaah menunaikan solat, masjid itu dilengkapi dengan penghawa dingin sepenuhnya.

“Kewujudan masjid lama, yang telah diwartakan sebagai bangunan warisan di Sarawak pada 2012, menjadi simbol kebanggaan umat Islam di Sibu, selain menjadi mercu tanda pelancongan terkemuka di wilayah tengah negeri Sarawak ini,” tambah Dr Annuar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan