SARIKEI, 29 April : Bomba menggunakan masa sekurang-kurangnya lima jam untuk memadamkan kebakaran yang membabitkan sebuah blok bangunan kedai dua tingkat jenis separuh kekal di Jalan Industri di sini, malam tadi.
Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira jam 7.15 malam dan hanya dapat dikawal sekitar jam 11.33 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 malam.
“Sebaik tiba, api didapati masih marak membakar salah satu lot kedai bangunan itu,” katanya ketika dihubungi.
Mahmudin berkata, kebakaran cepat merebak akibat struktur bangunan yang diperbuat daripada jenis kayu pada bahagian atas selain terdapat banyak bahan mudah terbakar.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor.
“Akibat kejadian ini, sebanyak lapan lot kedai ranap manakala empat lagi mengalami sedikit kerosakan dan berjaya diselamatkan daripada kemusnahan sepenuhnya,” katanya.
Beliau menambah, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Operasi berakhir sepenuhnya pada jam 2.50 pagi, namun jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. – TVS