KUCHING, 29 April : Sebelum ini, Rainforest World Music Festival (RWMF) mengumumkan kemunculan semula dengan mengehadkan jualan tiket kepada 5,000 keping untuk tempoh satu hari.
Namun kini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor, menjemput penonton untuk hadir seramai yang mungkin ekoran kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Ini juga sebagai salah satu langkah untuk memantau tahap keyakinan orang ramai untuk mula melancong ke luar negara.
“Saya menyarankan mereka yang datang dari Semenanjung Malaysia, yang berminat menghadiri RWMF 2022, untuk menempah tiket penerbangan awal terutamanya sekarang ada tawaran istimewa daripada Malaysia Airlines,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berkaitan Format Hibrid dan Persembahan Antarabangsa RWMF 2022, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Kandungan RWMF 2022, Karen Shepherd, berkata sekurang-kurangnya 60 artis, sama ada secara individu atau berkumpulan, dijangka akan memeriahkan Rainforest World Music Festival (RWMF) yang ke-25.
Jelasnya, persembahan-persembahan akan menampilkan keunikan budaya dari seluruh dunia, antaranya Korea, Kanada, China, India, Mexico dan Indonesia, pada 17 hingga 19 Jun 2022, atas pentas secara fizikal di Kampung Budaya Sarawak
“Tidak semua artis yang akan ditampilkan pada RWMF 2022 nanti akan didedahkan pada ketika ini kerana ia akan menjadi kejutan untuk semua orang,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Pengurus Acara RWMF yang juga Pengarah Place Borneo, Gracie Veronica Geikie, memaklumkan antara artis-artis yang dijangka hadir adalah Bluguru dari Australia, Timo Väänänen, pemuzik dari Finland, dan Randrianantoandro Clément, pemuzik dari Madagascar.
Penganjuran RWMF pada kali juga akan disiarkan secara hibrid dengan tema ’25th Legendary Rainforest Celebration’, untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-25 sejak ia mula diadakan pada 1998.
Persembahan pada tahun ini juga akan menampilkan bakat Sarawak, termasuk Alena Murang, Kemada, Sang Rawi, At Adau, Tuku Kame, Suk Binie’, Nading Rhapsody dan Mathew Ngau bersama bakat antarabangsa. – TVS