KUCHING, 29 April: Ekoran pengumuman kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) baru-baru ini, pergerakan masyarakat di Bandaraya Kuching didapati meningkat secara mendadak.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, peningkatan itu menjadi salah satu cabaran utama IPD Kuching untuk memastikan kadar jenayah tempatan terkawal.
Katanya, tidak dinafikan masih wujud kes jenayah seperti kecurian atau pecah rumah, namun ia bukan termasuk dalam kategori jenayah kritikal.
“Keadaan jenayah di Kuching pada masa ini adalah dalam keadaan terkawal jika dibandingkan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Pelepasan Pasukan Pemantau bagi Op Selamat 18 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Mydin Petra Jaya di sini hari ini.
Ahsmon menambah, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya, trend jenayah di Kuching telah menurun.
Katanya, perkembangan itu merupakan usaha seluruh IPD dan masyarakat tempatan.
Op Selamat 18 melibatkan anggota polis dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Narkotik, Balai atau Tugas Am termasuk pegawai-pegawai lain.
Selain itu, Ahsmon juga memberitahu bahawa rondaan bakal turut dilaksanakan terutama di kawasan perumahan serta rumah ibadah dan pejabat yang ditinggalkan kosong bagi memastikan jenayah seperti kes pecah masuk dapat dibendung. – TVS