KUCHING, 28 April : Selepas lebih dua tahun ekonomi di negeri ini berdepan suasana tidak menentu akibat pandemik COVID-19, Sarawak memutuskan untuk membuka semua sektor ekonominya bermula pada 15 Mei depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, antaranya kadar vaksinasi negeri yang tertinggi di Malaysia selain kes positif baharu yang semakin berkurangan.
Menurutnya, ketika ini populasi negeri ini yang divaksin sudah mencecah 92 peratus.
“Oleh itu, penguatkuasaan yang dilakukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan pihak berkuasa tempatan lain terhadap langkah mengawal jangkitan akan dihentikan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Uggah, yang juga Pengerusi JPBN Sarawak, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam,.
Sementara itu, Douglas Uggah turut memberitahu, Sarawak juga akan mengikut keputusan KKM dengan tidak lagi mengumumkan kes baharu bermula 1 Mei depan.
Selain itu ujar beliau, peraturan mewajibkan pengembara luar negara yang divaksin penuh supaya menjalani ujian calitan COVID-19 dua hari sebelum berlepas ke Sarawak juga dimansuhkan.
“Pemakaian pelitup muka di Sarawak juga akan mengikut pengumuman KKM semalam,”katanya.
“Di sebalik semua kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) itu, saya ingin menasihatkan agar rakyat Sarawak supaya sentiasa berwaspada kerana COVID-19 masih ada di kalangan kita walaupun kes berkurangan,”katanya. -TVS