Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
-- BERNAMA
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (tengah) hadir meninjau Operasi Bersepadu di Pasar Borong Selayang hari ini. Foto: Bernama

Rohingya lari dari Pulau Pinang dikesan di Selayang – Imigresen

KUALA LUMPUR, 28 April : Terdapat pelarian Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dikesan berada di sekitar Selayang dan usaha mengesan lokasi sebenar tahanan terbabit sedang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata mereka yang masih bebas dipercayai mahir selok-belok kawasan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur kerana pernah bekerja dan berada di sini sebelum ini.

“Orang tempatan mungkin tidak membantu mereka, tetapi komuniti mereka di sini terdapat kemungkinan sangat tinggi membantu tahanan itu,” katanya kepada pemberita selepas serbuan Imigresen di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini seramai 61 tahanan masih bebas.

Baca > > > Tragedi Depoh Imigresen: Merusuh, lari dan enam maut dilanggar di lebuh raya

Dalam kejadian pada 20 April lepas, 528 tahanan di depot tersebut merusuh sebelum melarikan diri dan enam daripadanya maut akibat dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Mengulas Operasi Belanja di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini, Khairul Dzaimee berkata seramai 248 pendatang tanpa izin ditahan susulan aduan dan rungutan orang ramai mengenai warga asing berniaga secara haram di tepi jalan berhampiran pasar itu.

Khairul Dzaimee berkata daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 205 adalah lelaki manakala baki 43 adalah wanita.

“Daripada 248 itu, 109 orang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala 139 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen sah terdiri daripada warga Pakistan, India, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata Imigresen turut mengesan tiga warga Pakistan mempunyai kad UNHCR walaupun negara itu bukan negara yang tersenarai untuk penggunaan kad terbabit.

“Semakan mendapati kad berkenaan tulen. Kami akan melakukan siasatan lanjut bagaimana tiga warga Pakistan itu boleh mempunyai kad UNHCR,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan