MUKAH, 28 April : Seorang petani maut selepas terlibat dalam kemalangan berhampiran kebunnya di Jalan Mukah – Balingian dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan pada pukul 8.23 pagi tadi melibatkan sebuah pacuan empat roda dan motosikal yang ditunggung oleh mangsa.
Katanya, Umar Katon, 78, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan.
“Kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa sedang bergerak dari arah pusat bandar dan hendak memasuki simpang ke kebunnya telah dilanggar dari arah belakang oleh kereta pacuan empat rodaan berkenaan,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, akibat pelanggaran itu, mangsa yang berasal dari Kampung Penakub Hilirtelah tercampak ke tepi jalan.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat manakala pemandu yang berusia 27 tahun berasal dari Kuching itu ditahan di lokap Balai Polis Mukah untuk tindakan lanjut,”katanya.
Katanya, polis turut meminta saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil berkongsi maklumat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS