SIBU, 28 April: Sebanyak 34 saman dikeluarkan dalam operasi ‘Op Bersepadu’ Pencegahan Jenayah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu di enam lokasi sekitar bandar ini pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisoner Zulkipli Suhaili, berkata operasi itu bermula pada jam 9.30 malam Rabu hingga 1.30 pagi Khamis.
“Sebanyak 14 kertas saman Pol 257 dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik manakala 20 notis Pol 170a yang diletakkan pada kenderaan atas kesalahan trafik yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara kawasan sasaran operasi tersebut termasuk Jalan Awang Ramli Amit, Jalan Morshidi Sidek, Dataran Sibu, Jalan Wong Nai Siong, Jalan Ramin dan Jalan Sanyan.
“Seramai 6 anggota dan seorang pegawai BSPT IPD Sibu terlibat dalam operasi itu di mana 52 kenderaan dan 40 orang telah diperiksa,” katanya.
Menurutnya, daripada 52 kenderaan yang diperiksa, 20 adalah motosikal, 25 motokar, 5 pikap dan dua van.
ACP Zulkipli berkata antara pelbagai kesalahan yang dikesan termasuk enam membabitkan lesen memandu, satu tidak mempamerkan tanda P, empat nombor plat tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan, dua kesalahan paip ekzos yang diubahsuai, dan satu tidak memakai tali pinggang keledar.
Beliau menasihatkan orang awam yang tidak mempunyai lesen untuk segera mendapatkan lesen memandu.
“Ini kerana ada dalam kalangan pengguna yang dioeriksa memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh,” tegasnya.
Beliau menambah, pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar lebih mematuhi peraturan lalu lintas.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk memandu secara lebih berhemah dan berhati-hati, terutamanya menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri,” ujar beliau. – TVS