KUCHING, 28 April : Kursi Wakaf Sheikh Othman Sarawak menerusi Majlis Islam Sarawak (MIS) memperuntukkan sebanyak RM5 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan penyelidikan untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata ia diperuntukkan di bawah Memorandum Perjanjian yang telah ditandangani bersama pihak UKM di Kuching pada 8 November 2021.
Kursi Wakaf Sheikh Othman merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama UKM dalam iltizam Kerajaan Negeri untuk membina kekuatan umat Islam di Sarawak dalam aspek ketamadunan, umat dan pembangunan ekonomi.
Dr Abdul Rahman berkata, dana wakaf untuk Kursi Wakaf Sheikh Othman Sarawak juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi digital yang merupakan matlamat Premier Sarawak bermula sejak tahun 2017.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas lawatan kerja ke Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM pada Isnin lepas.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerjasama MIS bersama FPI UKM merangkumi usaha sama untuk menjalankan penyelidikan dalam aspek pengajian yang boleh dijadikan rujukan bagi memperkasakan bidang ekonomi, pendigitalan, keusahawanan dan pertanian di Sarawak.
Dalam pada itu, kerjasama dengan FPI dapat membantu dalam penyediaan bahan-bahan rujukan yang boleh digunakan untuk memperkasakan ekonomi Islam di Sarawak dan membantu pembangunan masyarakat Islam, usahawan kecil dan sederhana serta petani.
Lawatan tersebut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin. – TVS