IPOH, 28 April : Jasad rakyat Malaysia Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura akan disemadikan di perkuburan Hindu di Buntong di sini pada Jumaat ini.
Kakak mendiang Sarmila Dharmalingam, 36, berkata persemadian akan dilaksanakan antara pukul 2 hingga 4 petang Jumaat ini selepas upacara sembahyang di rumah mereka.
Baca > > > Nagaentran jalani hukuman mati di Singapura pagi ini
“Kami terima pemergian mendiang dengan hati yang berat. Terima kasih kepada semua orang yang datang mendoakan mendiang di Singapura dan Malaysia serta yang mendoakan mendiang di media sosial sehingga kini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Tanjung Rambutan semalam.
Tinjauan mendapati ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang berkumpul di kediamannya dalam suasana hiba sambil menanti ketibaan jasad pada tengah malam ini.
Terdahulu, jasad Nagaenthran dituntut adiknya Navin Kumar, 22, di Penjara Changi dan dibawa dari Johor Bahru ke Ipoh dengan menaiki van.
Mendiang tiba di Johor Bahru pada kira-kira 8.30 malam Rabu menerusi penerbangan dari Singapura.
Turut kelihatan adalah ibu mendiang S. Panchalai, 60, yang sugul dan enggan ditemu bual pemberita mengenai Nagaenthran, 34, yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.
Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan Panchalai untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.
Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya. -TVS