KUALA LUMPUR, 27 April : Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) mencabar enam atletnya yang beraksi di Sukan SEA Hanoi bermula 12 hingga 23 Mei ini untuk membawa pulang pingat emas.
Presidennya Datuk Michael Wong Meng San berkata beliau akan memberi ‘habuan’ sebanyak RM20,000 bagi setiap pingat emas yang dibawa pulang oleh atlet kanu, menyamai insentif yang diberikan kerajaan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
“Saya bersedia mengeluarkan duit poket sendiri bagi menyuntik semangat atlet kami untuk memastikan kemarau pingat lebih 10 tahun dapat ditamatkan di Hanoi.
“Pencapaian terbaik kita di Sukan SEA adalah pingat gangsa pada edisi Palembang 2011 menerusi acara K2 200 meter (m) lelaki yang dimenangi Hamdan Muhammad dan Mohd Noh Parmin,” katanya kepada Bernama.
Menerusi SHAKAM, atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas akan menerima ganjaran RM20,000.
Mengenai pemenang pingat perak dan gangsa yang tidak ditawarkan sebarang insentif di bawah SHAKAM, Michael Wong berkata beliau akan menentukan imbuhan bagi pemenang itu kemudian.
Beliau berkata Khairul Naim Zainal menjadi taruhan utama pihaknya untuk meraih pingat dalam acara K1 100m lelaki selain akan beraksi dalam acara K2 1000m bergandingan dengan Nik Afiq Nik Mazli.
MASCA turut menyenaraikan Aimi Ayuni Azwan dan Aisyah Harhanah Azwan bagi acara K2 500m dan 1000m wanita, serta Syaful Epandy Hamdan dan Ahmad Azfaruddin Lukman bagi kategori lelaki.
Sebelum ini, Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Nur Azmi Ahmad turut berjanji akan memberikan insentif kepada setiap pemenang pingat emas di Hanoi menggunakan duit sendirinya, tanpa mendedahkan nilai ganjaran. – TVS