KUCHING, 27 April : Sektor pelancongan Sarawak mengalu – alukan kelonggaran pemakaian pelitup muka yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu diyakini akan membantu industri pelancongan Sarawak dan tempatan yang kini berada di peringkat pemulihan.
“Pemakaian pelitup muka bergantung kepada situasi tertentu kerana wabak COVID-19 masih ada dalam komuniti.
“Namun demikian, seperti saya usulkan sebelum ini, pemakaian di luar kawasan terbuka seperti beriadah, tempat luas termasuk pusat membeli- belah, perlu diberi kebebasan, kini KKM memberi kelonggaran itu,”katanya di sini hari ini.
Khairy menerusi sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan bermula Ahad ini.
Katanya, pemakaian pelitup muka digalakkan di luar bangunan, terutama di kawasan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam serta stadium.
Abdul Karim berkata, kelonggaran itu juga memberi kelegaan dan keselesaan kepada pelancong untuk datang ke Sarawak. -TVS