Foto : SUFC
KUCHING, 27 April : Sarawak United FC mahu meneruskan momentum kemenangan dalam Liga Super apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan FC pada 6 Mei depan di kubu mereka.
Ketua Jurulatihnya, B. Satianathan berkata, kemenangan pertama yang diraih ketika bertemu PJ City pada Sabtu lepas telah menyuntik semangat luar biasa kepada barisan pemainnya.
Namun katanya, skuad Hobin Jang Hobin yang merupakan ‘seteru lama’ mereka ketika di Liga Perdana pada musim lepas merupakan sebuah pasukan yang bagus berdasarkan prestasi semasa.
“Perlawanan yang tidak mudah (menentang Negeri Sembilan FC) walaupun beraksi di gelanggang sendiri kerana pasukan itu mempunyai kombinasi pemain tempatan dan import yang bagus.
“Apa yang pasti kami akan beraksi sehabis baik untuk memungut mata seterusnya kepada pasukan,”katanya kepada TVS semalam.
Mengulas mengenai kemenangan pertama yang dicapai, Sathianathan berkata, selepas enam perlawanan, Kenyalang Emas mula menunjukkan peningkatan dalam permainan malahan lebih tenang menahan asakan tuan rumah yang cuba bangkit selepas ketinggalan 0-2.
“Mereka (PJ City) juga merupakan pasukan yang hebat kerana mengalahkan Terengganu FC pada perlawanan yang lepas.
“Seperti diketahui, saingan Liga Super amat mencabar manakala pasukan kita biasa dalam perlawanan Liga Premier sebelum ini,”katanya kepada TVS.
Baca >>>  Sarawak United raih kemenangan sulung, benam PJ City 3 – 1
Prestasi Sarawak United dalam liga sebelum menentang PJ City menghadirkan kerisauan kepada penyokong kem Ngap Sayot apabila sekadar mengumpul satu mata sahaja dan berada di dasar liga.
Mengulas mengenai cabaran pasukan berkenaan pada musim ini, Sathianathan berkata, mereka terpaksa ‘membina’ kembali skuad Kenyalang Emas selepas kehilangan beberapa pemain utama.
“Bagaimanapun, perkara yang penting pada masa ini kita mendapat sokongan untuk terus beraksi pada perlawanan yang seterusnya,”katanya. -TVS