Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Persiapan Aidilfitri musnah, enam sekeluarga kehilangan tempat tinggal. Foto: Bomba
Persiapan Aidilfitri musnah, enam sekeluarga kehilangan tempat tinggal. Foto: Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral

Persiapan Aidilfitri musnah, enam sekeluarga kehilangan tempat tinggal

SIBU, 27 April : Seorang ibu berusia 24 tahun dan dua anaknya berusia tujuh bulan dan tiga tahun terselamat apabila rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran dua buah rumah milik keluarganya di Kampung Nangka Sibu pada pagi Rabu.

Lebih memilukan, segala persiapan Hari Raya yang sudah lengkap musnah bersama rumah mereka dalam musibah yang berlaku sekitar 10.45 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Sibu Sentral, Suna Kaha berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 10.52 pagi.

“Ketika pihak bomba sampai, api sedang marak membakar dua buah rumah berstruktur kayu yang terletak bersebelahan antara satu sama lain di mana api merebak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Ujarnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan strategi pemadaman menggunakan konsep ‘fire break’ digunakan untuk mengelakkan kebakaran daripada merebak ke rumah yang bersebelahan yang lain.

“Kebakaran telah menyebabkan kedua-dua buah rumah hangus 100 peratus termasuk sebuah rumah yang didiam keluarga mangsa manakala sebuah lagi adalah rumah lama keluarga berkenaan mereka yang tidak dihuni,” katanya.

Katanya, operasi terkawal dalam tempoh 20 minit pagi dan operasi pemadaman tamat pada jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Borhaniza Ali Basah, 34, ketika ditemui memberitahu beliau bersyukur semua ahli keluarganya terselamat walaupun barang raya yang telah disediakan musnah akibat kebakaran itu.

“Nasib baik beberapa orang jiran bertindak untuk mengetuk pintu rumah yang berkunci sehingga mereka terpaksa memecahkan pintu sehinggalah adik ipar dan dua orang anak menyedari rumah mereka terbakar,” katanya.

Katanya, ahli keluarga yang lain termasuk suami adik iparnya dan kedua-dua mertuanya tidak berada di rumah ketika kejadian kerana membeli barang keperluan untuk sambutan Aidilfitri seminggu lagi.

“Saya sendiri juga sedang berada di luar tetapi tidak jauh dari lokasi dan apabila orang sekeliling memberitahu ada kebakaran di situ saya terus pergi ke arah kepulan asap dan tidak sedap hati sehinggalah saya nampak kebakaran itu adalah rumah keluarga isteri saya,” katanya menceritakan detik cemas itu.

“Bagaimanapun katanya, beliau tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barang-barang di rumah kerana haba kebakaran dan api sudah terlalu marak,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, enam ahli keluarga termasuk ibu bapa mertuanya akan menumpang di rumah saudara mereka di Jalan Abang Barieng tidak jauh dari situ buat sementara waktu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr. Annuar Ra’apee yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, turut meninjau keadaan di lokasi kejadian dan menyampai bantuan kilat kepada ahli keluarga mangsa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan