ALOR SETAR, 27 April : PAS tidak akan menyertai kerjasama politik atau ‘khemah besar’ yang dilapor dicadangkan pemimpin pembangkang tertentu untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu tidak akan mengulangi strategi sama ketika berada dalam Pakatan Rakyat dahulu dan tidak akan bekerjasama dengan parti-parti yang pernah berada dalam gabungan itu.
“Perikatan Nasional (PN) akan berbincang untuk benda-benda itu, tapi PAS telah membuat keputusan tidak menyertainya, PAS menolak rancangan itu. PN ini kalau PAS tidak turut serta ia pun tidak cukup kerusi.
“PAS menolak kalau ada rancangan untuk menyertai pakatan baharu melibatkan PKR, ada yang cakap tanpa DAP, (tapi) tanpa DAP atau bersama DAP, tidak mungkinlah (untuk PAS sertai),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS memiliki pengalaman selama 20 tahun bersama dengan PKR sebelum ini dalam Pakatan Rakyat dan semua strategi pakatan itu tidak akan berulang lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai isu dokumen ‘PASLeak’, Muhammad Sanusi berpendapat dokumen berkenaan dibuat oleh pasukan siber pihak tertentu yang bertujuan mendapatkan kepentingan tertentu.
“Saya duduk dalam parti ini lama, minit mesyuarat kita tidak tulis begitu, kita ada format kita untuk minit mesyuarat, bukan macam yang disebarkan itu (dalam PASLeak), itu siapa yang menulis…saya tidak tahu,” katanya.
Sebelum ini, dokumen dikenali sebagai PASLeak dan didakwa mengandungi rancangan untuk menjatuhkan pemimpin UMNO tular di media sosial.
Polis juga dilaporkan telah membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti laporan diterima daripada pengadu berkaitan dokumen berkenaan yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin PAS.-TVS