LAWAS, 27 April : Seorang lelaki nyaris maut selepas van yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori pengangkut pasir di Jalan Punang di sini, tengah hari tadi.
Kemalangan pada pukul 12 tengah hari itu menyebabkan mangsa yang berusia 47 tahun tersepit di dalam kenderaannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Penolong Penguasa Bomba , Azman Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Punang sebelum bertembung dengan lori itu yang datang dari arah bertentangan.
“Sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 12.10 tengah hari.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati masih tersepit berada di dalam kenderaan itu,”katanya dalam satu kenyataan.
Azman berkata, bomba terpaksa menggunakan peralatan memotong untuk mengeluarkan mengeluarkan mangsa.
Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Unit Kecemasan, Hospital Lawas untuk tindakan selanjutnya.
“Kemalangan menyebabkan mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk pergelangan kaki manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya.-TVS