KUCHING, 26 April: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sasar untuk mengeluarkan 100,000 ekor ayam setiap hari bagi memenuhi keperluan bekalan ayam di negara ini.
Pengerusinya, Dato Zamri Yaakob berkata usaha berkenaan adalah bagi mengatasi isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam yang sering berlaku.
“Kita sedang berusaha untuk membesarkan projek ternakan ayam. Kalau kita tengok, isu bekalan ayam merupakan salah satu topik hangat sering dibincangkan terutama berkaitan dengan harganya.
“Jadi NAFAS baru-baru ini berkesempatan pergi ke expo di Dubai. Jadi, menerusi lawatan tersebut, NAFAS telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat di sana untuk melabur RM100 juta untuk projek ternakan ayam.
“Mereka mungkin akan datang ke sini selepas Hari Raya Aidilfitri untuk berbincang berkaitan projek ini.
“Hal ini kerana sasaran kita adalah untuk keluarkan 100,000 ekor ayam sehari di samping membantu kerajaan mengatasi isu bekalan ayam ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Wakalah Zakat dan Geran Pengurusan NAFAS.
Tambahnya lagi, selain projek penternakan ayam, NAFAS turut dalam usaha untuk mengambil alih syarikat pengeluar benih padi selain mampu meningkatkan pengeluaran padi tempatan dan juga menambah pendapatan petani.
“Kita telah berbincang bahawa mulai tahun ini kita akan ambil alih beberapa syarikat kilang benih padi.
“Hal ini demikian kerana kita mahu NAFAS memiliki sekurang-kurangnya 50,000 dari 72,000 tan metrik benih padi agar dapat dibekalkan kepada pihak yang memerlukan,” katanya.-TVS