Foto Faitullah Morni
KUCHING, 27 April : Sesiapa sahaja pasti murung apabila dunia yang dipenuhi warna-warni tiba-tiba bertukar menjadi gelap gelita.
Begitulah yang dialami oleh Morni Mentali,65, apabila pancaindera penglihatannya tidak lagi berfungsi ketika berusia sembilan tahun.
Kisah sedih ini dikongsi Morni yang berdepan situasi mencabar ketika mula menjalani kehidupan sebagai orang kelainan upaya (OKU) buta.
Akuinya, pernah suatu ketika, dia sudah mengangkat bendera putih kerana memerlukan ihsan daripada orang sekeliling membantu menghulurkan keperluan asas.
Namun begitu, enggan berpeluk tubuh, Morni bangkit melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup.
“Saya jadi begini (hilang penglihatan) disebabkan menghidapi penyakit cacar pada 1966. Dunia jadi gelap.
“Ibu kemudian ambil keputusan untuk sentiasa mengajar saya di rumah kerana katanya lebih mudah memandangkan saya sudah hafal keadaan di rumah,”katanya kepada TVS.
Morni baru – baru ini ‘menjadi perhatian’ apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ‘singgah’ membeli tisu yang dijualnya ketika Baginda berkenan melawat Bazar Ramadan Satok sempena lawatan kerja di Sarawak.
Berkongsi saat itu, Morni berkata, dia berasa teruja apabila Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menegurnya dan mendengar ceritanya pada petang itu.
“Itulah kali pertama saya berpeluang bercakap dengan Seri Paduka, bagi saya Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat.
“Saya gembira apabila mendapat tahu Al – Sultan Abdullah sudah beberapa kali berkenan melawat Sarawak,”katanya.
Dedah Morni, dia berasa sangat terharu apabila Ketua Negara itu sudi mendoakan agar dia dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik.
Berbalik kepada kisah hilang penglihatan, Morni berkata, pada mulanya dia tidak dapat menerima hakikat itu.
“Ia terjadi secara tiba-tiba, tapi lama-kelamaan reda dengan nasib yang menimpa dan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah,” katanya.
Kata Morni, pelbagai pekerjaan telah dilakukan untuk menyara lapan orang anak dan cucunya sebelum ini.
“Sebelum tisu, saya menjual makanan, kuih-muih dan minuman kepada orang awam,”katanya. -TVS