KUALA LUMPUR, 27 April : Sebanyak 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa menjadi buruan kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan bermula 12 hingga 23 Mei ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sasaran 146 pingat itu ditetapkan berdasarkan prestasi semasa 584 atlet negara ke temasya berkenaan selepas berbincangan dengan semua pemegang taruh yang terlibat.
Beliau berkata sukan terjun dan olahraga dijangka menjadi lubuk emas kontinjen negara di Hanoi dengan masing-masing diberi kepercayaan untuk menyumbang lebih lima pingat.
“Berdasarkan prestasi semasa, bonus pingat emas mungkin dapat diperoleh menerusi sukan taekwondo, wusyu, petanque, pencak silat, bina badan dan beberapa sukan lagi. Kita dapati lebih 58 peratus adalah atlet yang bakal bertanding buat kali pertama di Sukan SEA.
“Kita perlu faham bahawa mereka memerlukan pendedahan di peringkat antarabangsa untuk mencabar diri sendiri bagi mendapatkan pingat. Kita ada agenda lebih besar untuk membawa momentum ini ke Sukan Komanwel, Asia dan Olimpik selepas itu, dengan kita masih menanti pingat emas pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini. -TVS