Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Austral Techsmith mula pemasangan 'tiang pintar', sokong pelancaran 5G di seluruh negara

Austral Techsmith mula pemasangan ‘tiang pintar’, sokong pelancaran 5G di seluruh negara

ByTVS

Kuala Lumpur, 27  April : Syarikat perintis teknologi tiang pintar 5G di Malaysia, Austral Techsmith Sdn Bhd (Austral Techsmith), hari ini mengumumkan kerjasama dengan syarikat pembekal infrastruktur telekomunikasi untuk melaksanakan pemasangan tiang pintar ‘semua-dalam-satu’ di seluruh negara.

Sehubungan itu, Austral Techsmith mula memasang tiang pintar yang menawarkan penyepaduan lancar bagi pelbagai perkhidmatan rangkaian dan pembekal kemudahan 5G di seluruh negara. 

Elab 01 adalah inovasi penyatuan semua peralatan dan kelengkapan rangkaian telekomunikasi untuk pemasangan di lapangan dengan hanya satu tiang setinggi 18 meter.

Tiang pintar ini boleh dipasang dengan kapasiti hubungan pelbagai rangkaian 4G, 5G, penghala (router) wifi, unit bekalan kuasa dan juga sekaligus berfungsi sebagai lampu jalan pintar.

Berbanding rekaan menara telekomunikasi sebelum ini yang berserta kabinet peralatan di sebelahnya, tiang pintar Austral Techsmith dilaporkan menambat hati pihak berkuasa telekomunikasi dan pihak berkuasa tempatan sebagai rekaan terbaik untuk dipasang. 

Lagipun kapasiti jalur lebar (bandwidth) dan liputan rangkaian (connectivity) 5G yang lebih tinggi memerlukan lebih banyak tiang dipasang di sesuatu kawasan liputan berbanding teknologi terdahulu 4G dan 3G. Elab 01 bukan sahaja meminimakan jejak karbon dengan aplikasi ciri pintarnya tetapi juga bersepadu dengan lanskap bandar yang lumrah dengan lampu jalannya, cuma kali ini lebih mesra teknologi dan alam.

Pemasangan tiang-tiang tersebut telah bermula pada 15 Mac lepas dan sehingga 25 April, 31 tiang pintar telah didirikan di sepanjang jalan tgermasuk Jalan Semarak Api dan Jalan Serene Kiara, Kuala Lumpur serta di Greentown Ipoh, Perak. 

Ketua Pegawai Eksekutif Austral Techsmith, Azfar Zubri, berkata penggunaan teknologi pintar adalah langkah ke hadapan Malaysia dalam laluannya untuk mewujudkan lebih banyak bandar pintar dan seterusnya penggunaan inovasi baharu itu akan mengurangkan penggunaan tiang jalan pelbagai fungsi.

“Sebagai usahawan teknologi Malaysia, saya berbangga dengan R&D tempatan, jurutera dan juruteknik tempatan dengan harta intelek inovasi tempatan dalam PKS setahun jagung yang diilhamkan dari Sarawak, dapat memainkan peranan kecil tapi bermakna untuk kejayaan rangkaian infrastruktur 5G negara yang amat dinanti-nantikan. Ini bukan saja membantu peningkatan skala Austral Techsmith tapi lebih penting lagi ia meyakinkan saya dan pasukan saya untuk menginovasikan harta intelek lebih baik dan bersaing juga di pasaran antarabangsa,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Austral Techsmith, Soh Chong Meng, pula berkata setiap tiang Elab 01 di luar sana adalah satu lagi mercu tanda bukti keupayaan tempatan untuk inovasi bidang teknologi tinggi seperti 5G.

“Membina reka bentuk Elab 01 sebenarnya satu kepuasan kerana kami berjaya gabungkan yang terbaik daripada teknologi antarabangsa dengan kearifan tempatan yang lebih memahami keperluan dan penyelesaian ekosistem setempat. Saya berazam bahawa ini hanyalah yang pertama daripada pelbagai lagi inovasi mendatang Austral Techsmith. Mungkin juga kami ini baharu tetapi kami belajar mengadaptasi dan menginovasi dengan pantas jua.” ujarnya.

Tiang pelbagai fungsi yang akan menggantikan tiang lampu sedia ada itu juga akan membantu majlis perbandaran tempatan menyedia, meningkat dan menambah baik pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat setempat. 

Ia boleh dilakukan melalui pengenalan beberapa perkhidmatan yang dipertingkatkan, termasuk melakukan aktiviti cerapan data sambil mengurangkan masa pelaksanaan projek.

Austral Techsmith juga kini sedang mencipta satu reka bentuk tiang baharu yang kini sedang diuji untuk menyokong industri telekomunikasi di dalam dan luar negara, sebagai persediaan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat  global.

Pada masa ini, penggunaan tiang pintar telah menjadi sebahagian daripada pembangunan projek bandar pintar dan diterima secara meluas di negara-negara yang sedang meningkatkan infrastruktur rangkaian mudah alih mereka seperti di England, Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.  Menurut A.T. Kearney, jumlah pasaran 5G di Malaysia diramalkan bernilai antara AS$660 juta dan AS$900 juta menjelang 2025. – TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found