KUCHING, 26 April : Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang terlibat dalam kes pergaduhan ala samseng di sebuah restoran di Matang pada 16 April lepas.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Goh Kia Hie, 25, meninggal dunia pada pukul 10.10 malam tadi ketika dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Katanya, siasatan kes itu masih diteruskan oleh pihaknya untuk mengenal pasti penyerang yang memukul Kia Hie.
“Berdasarkan pemeriksaan, premis itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) manakala rakaman CCTV kedai – kedai berhampiran rosak,”katanya.
Ujar beliau, setakat ini juga tidak ada saksi bebas yang tampil membantu siasatan.
Sebelum ini, polis sahkan motif kejadian itu dipercayai akibat tidak berpuas hati dalam soal pembahagian keuntungan perniagaan.
Susulan itu, tujuh individu yang berumur dalam lingkungan 26 hingga 40 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. -TVS