Kuching,26 April: Rakyat Sarawak bakal menerima manfaat daripada projek Pusat Sains Sarawak (SSC) yang bakal siap kelak.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah We Inn, projek bernilai RM200 juta tersebut merupakan cetusan idea Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahukan rakyat Sarawak mempunyai pengetahuan yang setaraf dengan negara luar dalam bidang sains dan teknologi.
Program yang akan ditawarkan oleh Pusat Sains Sarawak (SSC) itu nanti akan merangkumi segenap lapisan masyarakat dengan konsep yang berbeza daripada sukatan pelajaran di sekolah.
“Pusat Sains Sarawak baharu akan memainkan peranan penting dalam menyediakan platform pembelajaran tidak formal yang berbeza dengan apa yang diajar di sekolah.
“Ia akan memupuk literasi saintifik dalam kalangan orang ramai di Sarawak melalui pendidikan yang interaktif dan menyeronokkan.“ katanya.
Tambahnya negara jiran Singapura melalui Pusat Sains Singapura (SCS) akan menjadi mentor bagi projek SSC Sarawak dan pemilihan dibuta selepas mengambil kira pengalaman luas yang dimiliki pusat tersebut sebelum ini.
“Saya teruja kerana pihak Pusat Sains Singapura (SCS) akan turut sama dengan kita bagi menjayakan projek ini.
“Pemilihan mereka dibuat disebabkan pengalaman mereka yang luas dalam industri sains dan teknologi sejak selama 45 tahun lalu.
“Melalui bantuan itu beberapa aspek penting dalam projek tersebut akan diteliti secara rapi dalam memastikan kelancaran pelaksanaanya di samping penambahbaikan yang akan dilakukan dari masa ke masa berdasarkan keperluan.” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pelan Induk Pusat Sains Sarawak (SSC) fasa 4 dan 5 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK).
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Hollis dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat (Pegajian Tinggi dan Inovasi), Dr Annuar Rapaie serta beberapa pengamal industri yang dijemput hadir dalam majlis tersebut.-TVS