KUCHING, 26 April: Bermula 1 Mei 2022, semua kakitangan sepenuh masa Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan ditawarkan dengan gaji minimum sebanyak RM2,500.
Inisiatif penambahan gaji minimum ini yang 40% melebihi jumlah gaji minimum yang telah ditetapkan kerajaaan, mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat di Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui portal rasmi KLCC, Pengurus Besar KLCC, Alan Pryor berkata bahawa ianya juga sebagai tanda penghargaan buat semua kakitangan KLCC, dan beliau percaya bahawa gaji minimum yang kompetitif akan juga menarik minat mereka yang berbakat dan berpotensi besar untuk menyertai KLCC.
“Kakitangan kami ada lah aset yang sungguh bernilai buat kami dan kini pada ketika kami telah dapat memulakan operasi seperti biasa lagi, keputusan ini adalah tepat pada masanya.”
Pryor bagaimanapun menambah, selain dari saingan sengit yang terpaksa dihadapi, sektor hospitaliti juga sedang berdepan dengan cabaran kekurangan tenaga kerja yang besar ketika Malaysia membuka semula pintu untuk acara antarabangsa dan pelancong asing ke negara ini.
”Selepas Covid-19, kami berhadapan dengan pengurangan rantaian bekalan, tenaga kerja dan persaingan sengit di peringkat tempatan dan serantau.
”Dasar gaji dan pampasan yang lebih baik perlu dilaksanakan di seluruh industri untuk menarik bakat baharu dan meningkatkan semangat kakitangan semasa,” katanya.
Kenyataan itu juga menyebut ketika ini, KLCC sedang giat mengambil pekerja sambilan untuk menyertai Program Duta KLCC. Program ini menyediakan makanan asas percuma, elaun latihan, caruman Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, jadual kerja fleksibel, pakaian seragam dan elaun pengangkutan syif malam.
KLCC juga kini sedang bersedia untuk menganjurkan 117 acara perniagaan dan hiburan sehingga Disember 2022 ini. – TVS