Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

GPS punya pengaruh dan kedudukan kukuh, fokus pengundi muda

KUCHING, 26 April : Sentimen pengundi muda khususnya pengundi berusia 18 tahun perlu diberi penekanan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Melihat persediaan parti dan gabungan di sarawak, Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat telah mengambil langkah proaktif bagi meraih sokongan golongan itu.

Malah GPS telah mempunyai pengaruh dan kedudukan yang amat baik dan terbukti pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang lalu.

“Kita juga perlu juga melihat dari segi sentimen pengundi dan sentimen  pengundi ini termasuklah pengundi 18 tahun.

“Itu satu perkara yang mungkin akan sedikit memberikan kesan terhadap pilihan raya yang akan datang memandangkan kumpulan 18 tahun ini adalah dari kalangan yang masih baru dan berpotensi untuk berubah-ubah pengaruh ataupun sokongan mereka terhadap satu-satu parti politik.

“Ini sudah pasti akan memberikan sedikit cabaran kepada GPS walaupun saya ambil maklum bahawa GPS sudah pun mengorak langkah mewujudkan satu usaha ataupun inisiatif terutamanya yang melibatkan golongan berusia 18 hingga 28 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Fadzil berkata walaupun sokongan dilihat utuh, jentera parti-parti di bawah gabungan itu perlu berkerja lebih keras kerana kuasa undi golongan terbabit amat penting terutama dalam membuat keputusan di saat-saat akhir.

“Mereka ini mudah terpengaruh dan mudah mendapat satu-satu maklumat mungkin dalam keadaan yang kurang bersedia untuk memikirkan dengan lebih mendalam, jadi ini sudah tentu akan mempengaruhi keputusan yang akan berlaku nanti.

“Pada masa yang sama juga kita perlu melihat trend sebelum ini, kalau kita lihat trend pengundi sebelum ini adakalanya mereka memilih untuk negeri ataupun wilayah untuk diberikan contohnya satu parti GPS.

“Tetapi untuk mewakili parlimen mungkin ada yang  pilih parti-parti  lain untuk mewakili wilayah ataupun negeri di peringkat parlimen.

“Jadi sentimen-sentimen sebegini sukar untuk kita tafsirkan secara langsung kerana buat pertama kalinya juga GPS akan bertanding atas nama GPS pada PRU15 nanti,” jelasnya.

Terdahulu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap di Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-5 badan induk Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada ahad lepas menegaskan pendirian GPS untuk memenangi kesemua kerusi parlimen dalam PRU15 yang akan datang.

Ia termasuk semua keenam-enam kerusi yang akan dipertandingkan PRS iaitu kerusi parlimen Lubuk Antu, Selangau, Julau, Sri Aman, Ulu Rajang, dan Kanowit. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan