KUCHING, 24 April : Populariti ikan terubok masin sebagai buah tangan yang wajib dibawa pulang dari Sarawak tidak perlu dipersoalkan lagi.
Ikan yang diawet ini terus menjadi buruan penggemarnya di sebalik harga yang agak tinggi di pasaran sehingga mampu mencecah ratusan ringgit seekor.
Menyedari potensi produk berasaskan ikan terubok, seorang usahawan di Satok, Ibrahim Mohamad Sahari mengorak langkah dengan memperkenalkan Serunding Terubok dan Ikan Terubok Rangup atau crispy.
“Idea ini mula tercetus ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Ketika itu saya terfikir yang ikan terubok bukan hanya boleh digoreng atau dijadikan masak lemak sahaja malah lebih daripada itu,”katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.
Ibrahim yang telah berkecimpungan dalam perniagaan terubok selama lebih 33 tahun berkata, dia menggunakan waktu terluang ketika PKP untuk melakukan pembangunan dan penyelidikan bagi ‘mengubah’ ikan terubok menjadi serunding dan rangup apabila digoreng.
“Dua minggu lepas, saya berjaya memasarkan kedua – dua produk ini namun disebabkan masih baharu di pasaran, tidak ramai yang tahu,”katanya yang berhasrat untuk melakukan promosi besar – besaran selepas ini.
Ujar Ibrahim, dia menjual satu bekas Serunding Terubok pada harga RM30 manakala untuk Terubok crispy, harga pengenalan ialah RM15 bagi sepaket kecil.
Berkongsi ‘sejarahnya’ dalam perniagaan ikan terubok, anak jati Sarawak itu berkata, dia juga merupakan pembekal ikan terubok masin.
“Sebelum PKP, saya mampu menjual sehingga lima tan ikan terubok sebulan namun ketika ini jualan hanya sekitar satu tan sahaja,”katanya yang mempunyai lima pekerja.
Sehubungan itu katanya, pengenalan dua produk berkenaan antara langkah dilakukan untuk memastikan perniagaannya terus berdaya tahan pada masa mencabar ini.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Ibrahim berkata, dia kini sedang meninjau peluang untuk mengeksport ikan terubok berkenaan ke luar negara. -TVS