KUCHING, 23 April : Pemburuan kemenangan sulung Sarawak United FC dalam saingan Liga Super 2022 bernoktah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini dengan menumbangkan PJ City menerusi keputusan 3 – 1.
Sarawak United yang sebelum ini dipalit resah apabila sekadar mencatat satu keputusan seri jelas menampilkan aksi berbeza ketika bertandang ke tempat lawan.
Seawal minit ke-21, Ngap Sayot membuka jaringan menerusi tandukan Boris Kok yang seminit sebelum itu gagal menyempurnakan sepakan penalti.
PJ City yang lebih banyak bertahan pada babak pertama mula mengubah rentak permainan pada separuh masa kedua.
Begitupun, Sarawak United yang berjaya melebarkan kedudukan menjadi 2 – 0 pada minit ke-47 apabila Francis Kone berjaya menanduk masuk hantaran silang Shamie Iszuan.
Asakan tuan rumah mula menjelmakan hasil apabila Kogileswaran menyudahkan hantaran pendek Darren Lok pada minit ke-73 untuk kedudukan 1 – 2.
Memasuki 10 minit terakhir, permainan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan saling menguji kubu lawan.
Berpunca satu serangan balas pantas Sarawak United FC, skuad kendalian B. Sathianathan dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Francis Kone pada minit ke-85 untuk keputusan 3 – 1.
Tambahan masa lima minit tidak mengubah kedudukan itu sekaligus membolehkan Kenyalang Emas terbang merentasi Laut China Selatan membawa tiga mata berharga ke Kuching.
Satu aksi Liga Super menyaksikan Sri Pahang FC turut meraih kemenangan pertama dengan menewaskan Penang FC, juga dengan keputusan 3 – 1 di Kuantan.
Saingan Liga Premier pula menyaksikan wakil Sarawak, Kuching City FC mencatat kemenangan besar setelah membelasah skuad Projek MSN dengan keputusan 4 – 0. – TVS