SIBU, 24 April : Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) semakin matang dalam merencanakan perjalanan di persada politik di negeri ini.
Ujar Abang Johari, PRS telah membuktikan mereka mampu bersama parti – parti komponen lain dalam GPS untuk membawa Sarawak ke tahap pembangunan yang lebih baik meliputi pelbagai sudut.
Katanya, PRS mempunyai peranan dan kekuatan tersendiri yang tidak boleh diperkecilkan kerana memfokuskan kepada kawasan luar bandar.
“Pengalaman PRS membangunan luar bandar membolehkan kita (Kerajaan Sarawak) masukkan dalam perancangan pembangunan yang lebih besar untuk mencapai hasrat menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Kelima PRS di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Pemangku Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP),Datuk Seri Tiong King Sing.
Sementara itu, Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pimpinan dalam GPS yang telah membawa PRS sebagai satu pasukan bersama-sama parti komponen lain untuk memberikan input kepada dasar dalam pembangunan secara menyeluruh lebih-lebih lagi untuk masyarakat luar bandar. -TVS