MERSING, 24 April : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 21 nelayan Vietnam dan merampas dua bot serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM2 juta selepas mereka dikesan menceroboh di perairan negara, dua hari lepas.
Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata pihaknya turut merampas hasil tangkapan yang dianggarkan 6,000 kilogram selain bekalan diesel kira-kira 5,500 liter menerusi Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut kira-kira 62 batu nautika timur laut dari Kuala Mersing di sini pada pukul 10 pagi.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati 21 nelayan termasuk tekong kedua-dua bot yang berumur 16 hingga 62 tahun itu, gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.
“Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM2 juta dan kesemua nelayan terbabit dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia, dan Akta Imigresen 1959 atau 1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi talian kecemasan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor dengan menelefon 07-219 9404,” katanya. -TVS