BAITULMAQDIS, 23 April: Sekurang-kurangnya 57 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan polis Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat Subuh, di sini semalam.
Israel didakwa penduduk Palestin menyekat ibadah umat Islam di Masjid Al-Aqsa iaitu tanah ketiga paling suci dalam Islam, dan tidak menguatkuasakan larangan berpanjangan terhadap upacara sembahyang Yahudi di perkarangan sama.
Namun dakwaan tersebut dinafikan Israel yang sebaliknya mendakwa dua roket telah dilancarkan dari arah Gaza pada Jumaat.
Polis Israel mendakwa mereka mula campur tangan apabila beratus-ratus penduduk Palestin membaling batu dan bunga api dan menghampiri tembok sempadan, di mana upacara penyembahan Yahudi sedang dijalankan.
Seorang polis wanita cedera terkena batu dan sebatang pokok terbakar oleh bunga api, kata polis.
Saksi Reuters berkata polis memasuki perkarangan masjid selepas solat Subuh dan melepaskan peluru getah dan bom asap ke arah kumpulan yang membaling batu.
Polis juga menggunakan dron untuk menjatuhkan gas pemedih mata.
Lonjakan keganasan di Baitulmaqdis menimbulkan kebimbangan akan berulangnya perang tahun lalu antara Israel dan kumpulan Islam Hamas yang memerintah Gaza.
” Pejuang Hamas mempunyai picu senapang, dan kami akan mempertahankan Masjid Al-Aqsa dengan sekuat tenaga”, kata pegawai Hamas Mushir al-Masri pada perhimpunan di utara Gaza.
Sejak 22 Mac,14 orang di Israel, termasuk tiga pegawai polis terbunuh manakala tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin, antaranya lelaki bersenjata dan orang awam di Tebing Barat, menurut pegawai perubatan.
Al-Aqsa terletak di Kota Lama Baitulmaqdis Timur, yang diilhakan oleh Israel ketika perang Timur Tengah 1967 namun tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Manakala rakyat Palestin mahukan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara yang diharapkan mereka pada masa hadapan. – TVS