KUALA LUMPUR, 23 April : Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan SK earthon Co Ltd (SK earthon) dan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP) bagi Blok SK427 yang terletak di luar pesisir Sarawak.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Petronas menjelaskan SK earthon, anak syarikat milik penuh SK Innovation Co Ltd yang berpangkalan di Korea Selatan, merupakan pihak yang mengusahakan blok tersebut dengan 85 peratus kepentingan penyertaan manakala PSEP, syarikat minyak dan gas milik Sarawak memegang baki 15 peratus.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata PSC Blok SK427 itu merupakan antara enam blok yang diberikan menerusi Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2021.
Beliau berkata ini menunjukkan potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik untuk syarikat yang mahu mengembangkan portfolio tenaga mereka dan berkembang maju dalam peralihan tenaga.
“Berasaskan strategi ‘aset yang betul, peserta yang betul’ disokong oleh regim fiskal yang progresif, kami berharap dapat memaksimumkan sepenuhnya nilai jangka panjang sumber hidrokarbon negara,” katanya.
Blok SK427 terletak dalam zon prolifik Balingian dan wilayah hidrokarbon Tatau meliputi kawasan seluas 3,349 kilometer persegi.
Blok itu berada dalam sistem hidrokarbon yang terbukti dan mempunyai potensi hidrokarbon yang cerah untuk dimanfaatkan.
Beberapa penemuan hidrokarbon penting telah dilakukan pada 2021 di kawasan Balingian berhampiran blok itu, iaitu telaga Sirung-1 dan Hadrah-1.
MBR adalah pusingan pelesenan tahunan Malaysia yang dikendalikan oleh MPM, menawarkan kepelbagaian peluang huluan termasuk kawasan cari gali, peluang sumber ditemui dan aset penghasilan hayat lewat kepada pelabur.
MBR 2022, bertemakan ‘Your Advantaged Energy is Here’ dilancarkan pada 27 Jan, 2022 dan akan berlangsung sehingga 30 Jun, 2022 bagi menawarkan 14 blok cari gali, enam kluster peluang sumber ditemui serta satu kluster aset hayat lewat. -TVS