PULAU PINANG, 23 April : Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan mati dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi pada kerusi dan mayatnya ditemukan di kawasan parkir di sebuah apartmen di Jelutong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut , Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong berkata, mayat lelaki berumur 33 tahun itu ditemukan oleh penduduk di situ kira-kira 5.40 petang dalam keadaan berlumuran darah di parkir tersebut, sebelum mereka menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa bersama seorang lagi lelaki yang merupakan warga tempatan berusia 52 tahun menyewa sebuah unit apartmen di situ yang dijadikan inap desa sejak 13 April lepas, mereka datang dari Melaka.
“Menurut seorang penghantar makanan yang juga saksi, dia menghantar makanan ke inap desa itu setiap hari iaitu pada 1 tengah hari dan 5 petang, dengan kali terakhir pada 5 petang semalam kepada seorang daripada lelaki tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat yang akan dijalankan Isnin ini dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Soffian berkata motif kejadian itu masih dalam siasatan dan pihak polis juga sedang giat mengesan lelaki yang tinggal dengan mangsa bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut.
Katanya pemeriksaan dalam inap desa itu tidak menemui sebarang kesan pergaduhan atau pergelutan dan polis juga masih menyiasat tujuan mereka berada di Pulau Pinang.
“Polis menemukan pasport milik mangsa dan dia dipercayai datang dari Dumai, Indonesia pada 23 Mac lepas sebelum datang ke Pulau Pinang. Kami sedang kesan lelaki yang tinggal bersamanya untuk siasatan lanjut kerana kami percaya dia tahu berhubung kejadian ini,” katanya.
Menurutnya setakat ini polis klasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut sehingga menerima laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar mangsa mati.
Terdahulu tular di media sosial mayat seorang lelaki berlumuran darah dengan keadaan kaki diikat dengan rantai besi pada kerusi dan mangsa dikatakan terjatuh dari tingkat lapan dengan kesan kecederaan di bahagian kepala serta badan. -TVS