Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Khairy Diabetis

Dos penggalak kedua: Warga emas terima pautan tempahan MySejahtera mulai Jumaat

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 April : Individu berumur 60 tahun dan ke atas yang memenuhi kriteria bagi dos penggalak kedua akan menerima pautan tempahan secara berperingkat bermula semalam dalam aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata individu yang telah menerima pautan itu boleh membuat tempahan janji temu di pusat pemberian vaksin (PPV) yang disenaraikan.

Beliau berkata kriteria kelayakan bagi penerima dos penggalak kedua adalah individu berumur 60 tahun dan ke atas, serta telah menerima dos penggalak pertama sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan lepas.

“Bagi individu yang telah lengkap mengambil dos penggalak pertama dan didapati mengalami jangkitan COVID-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua selepas selang masa tiga bulan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya pemberian dos penggalak kedua vaksin Pfizer (Comirnaty) adalah bagi individu berumur 60 tahun dan ke atas yang berisiko tinggi termasuk bagi yang menghidap penyakit respiratori kronik; penyakit jantung dan vaskular kronik; penyakit buah pinggang kronik; penyakit hati kronik dan penyakit neurologi kronik .

Beliau berkata individu berumur 60 tahun dan ke atas yang sihat pula perlu berbincang dengan pengamal perubatan untuk pertimbangan jika ingin mengambil dos penggalak kedua.

Sementara itu Khairy berkata individu yang sedang dalam rawatan di hospital kerajaan atau swasta yang beroperasi sebagai PPV, boleh diberikan dos penggalak kedua secara oportunistik manakala di hospital bukan PPV, Penilaian Pra Vaksinasi (PVA) perlu dilaksanakan oleh pakar dan merujuk ke hospital berhampiran yang beroperasi sebagai PPV.

Beliau berkata warga emas juga boleh hadir secara terus di mana-mana PPV yang masih beroperasi, manakala pusat jagaan warga emas boleh membuat permohonan bagi mendapat dos penggalak kedua di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran. 

Sementara itu beliau berkata remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang berada dalam kategori terimunokompromi sederhana atau teruk ((moderate or severe immunocompromised yang disahkan oleh pakar perubatan kerajaan dan swasta, layak menerima dos tambahan.

Katanya golongan itu boleh menerima dos tambahan sekurang-kurangnya 28 hari selepas menerima dos terakhir siri primer, manakala bagi individu yang lengkap mengambil dos primer dan didapati positif COVID-19, layak menerima dos tambahan selepas selang tiga bulan pulih sepenuhnya.

Khairy berkata remaja yang sedang dalam rawatan di hospital kerajaan, hospital swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta, klinik kesihatan dengan pakar yang telah menjadi PPV, boleh diberikan dos tambahan secara oportunistik di fasiliti kesihatan berkenaan.

Mengulas lanjut beliau berkata bagi remaja yang layak tetapi tidak ditawarkan dos tambahan, mereka boleh dibawa berjumpa pakar perubatan yang merawat untuk menjalani PVA, dan seterusnya dirujuk ke hospital kerajaan atau swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta atau klinik kesihatan dengan pakar yang beroperasi sebagai PPV.

Sementara itu Khairy berkata individu berumur 18 tahun dan ke atas yang ingin ke luar negara boleh diberikan dos penggalak kedua selepas selang sekurang-kurangnya satu bulan daripada dos penggalak pertama, bagi memenuhi syarat keperluan memasuki negara destinasi yang ingin dilawati.

“Mereka boleh hadir secara terus tanpa janji temu di PPV yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan (seperti bukti tiket penerbangan atau dokumen perjalanan),” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan