KUCHING, 23 April : Seorang wanita warga emas disahkan sebagai korban terbaharu di Sarawak akibat jangkitan COVID-19.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, mangsa yang berusia 85 tahun itu meninggal dunia pada 21 April lepas di Hospital Umum Sarawak.
“Mangsa mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, dislipidemia dan penyakit jantung,” jelas JPBN menerusi kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Sarawak mencatatkan kes baharu sebanyak 134 bagi tempoh 24 jam lepas.
Ini sekaligus menjadikan kes kumulatif di Sarawak mencecah 304,708 kes sejak dilanda pandemik.
“Pecahan kes mengikut daerah pula menyaksikan Kuching, Miri dan Bintulu kekal sebagai tiga daerah kes tertinggi iaitu masing-masing dengan 38, 24 dan 17 kes,” jelas JPBN.
Sebanyak 15 daerah pula mencatatkan sifar kes baharu antaranya Daro, Telang Usan dan Tebedu. – TVS