SLIM RIVER, 23 April: Seramai 13 orang cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 357 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Arah Selatan, di sini, lewat malam tadi.
Kemalangan turut menyebabkan dua daripada lima kenderaan terbabit terbalik, tetapi tidak mengakibatkan kecederaan parah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 11.53 malam.
Sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke lokasi.
” Setibanya di tempat kejadian didapati lima kenderaan terbabit dalam kemalangan termasuk dua kenderaan terbalik.
” Seramai 13 mangsa terbabit dalam kemalangan terbabit iaitu lapan lelaki dan lima perempuan namun semua mengalami kecederaan ringan.” katanya.
Menurutnya lagi sebahagian mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan selebihnya dengan bantuan orang awam.
Anggota bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera melalui pasukan perkhidmatan penyelamatan rawatan kecemasan (EMRS).
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut. – TVS